Wednesday, June 30, 2010

Wajarkah??

Berita Harian Selasa, 15 Jun 2010, ms 28, seksyen Surat & Emel.

Tajuk: SYOR CUTI BERSALIN 90 HARI TIDAK RASIONAL
Mengenai isu cuti bersalin 90 hari, saya berharap semua pihak dapat melihat kepada pepatah ini 'berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah' sebagai tepat untuk isu ini yang dibangkitkan baru-baru ini.
Walaupun pelbagai kajian diutarakan, kehidupan perlu berdasarkan realiti dan bukan andaian semata-mata. Beberapa alasan yang dilontarkan untuk menyokong perlaksanaannya amat tidak rasional.
Antara persoalannya, adakah Malaysia perlu meniru apa saja yang dilakukan oleh luar negara tanpa mampu membuat keputusan sendiri? Adakah kempen susu ibu termasuk program perahan susu ibu atau expressed breastmilk anjuran Kementerian Kesihatan sejak 1990-an sudah menemui jalan buntu?
Berapa ramai ibu yang gagal menyusu dalam tempoh 60 hari akan menyusu sepenuhnya jika diberikan cuti 90 hari? Daripada pengalaman saya, selepas seminggu bersalin, kebanyakan ibu mampu memasak dan melakukan kerja rumah ringan tetapi kenapa tidak mampu kembali bekerja selepas 60 hari?
Sistem peranakan termasuk uterus akan mengecut ke saiz asal dalam tempoh 42 hari sahaja. Saya sendiri sudah boleh memandu dankembali bekerja lebih sembilan jam sehari selepas 20 hari bersalin.
Keharmonian keluarga bukan terletak pada kuantiti masa yang diluangkan bersama keluarga tetapi kualiti kerohanian, kasih sayang dan perhatian. Adakah bayi yang kononnya lebih sihat ini tidak akan membesar sebagai warga Malaysia yang rosak akhlaknya? Saya berpendapat implikasinya cuti bersalin selama 90 hari akan membuatkan majikan memilih pekerja perempuan yang tidak berkahwin atau pekerja lelaki. Selain itu, sistem kontrak yang dilaksanakan dan pekerja wanita yang berkahwin tidak akan disambung kontraknya.
Wanita tidak bersalin atau golongan lelaki terpaksa menanggung beban tugas ibu yang 'bercuti' ini. manakala guru wanita dalam tempoh reproduktif tidak wajar ditugaskan pada tahun peperiksaan penting kerana berpotensi menjejaskan kesinambungan pembelajaran.
Jika kerajaan menanggung gaji ibu ini. wang siapakah yang bakal digunakan? Ahli politik, ulama dan cendekiawan perlu mengenalpasti masalah utama kita terutama gejala sosial dan menanganinya bersama bukan memperjuangkan isu remeh berbaur politik.
Kepentingan seluruh rakyat Malaysia mesti diambil kira. Saya pasti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 tidak mengharapkan warga Malaysia Maju 2020 yang terpesong akidah, rosak akhlak, dan hancur di tanah air sendiri.
Saya amat mengharapkan pandangan ini mampu membantu pembuat dasar membuat keputusan yang mengambilkira kepentingan semua golongan dan tidak hanya menumpukan perhatian kepada golongan tertentu.
SITI, Jerlun, Kedah.

Saya mendapat tahu berita mengenai surat ini melalui Dr. Nadrah semasa SGM pada 27Jun yang lalu... sangat-sangat tersentap membaca surat ini. Pada saya tujuan cuti bersalin 90 hari itu adalah sangat wajar untuk menggalakkan penyusuan susu ibu kepada ibu-ibu pada hari ini. Kenapa susu ibu itu penting... pada saya apa yang kita beri anak kita makan, setiap titis air yang masuk ke dalam mulut anak kita akan menjadi darah daging mereka. Sebab itulah di dalam Islam diwajibkan kepada setiap umatnya mencari makanan yang halal. Kerana setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh manusia akan menjadi darah daging dan akan membentuk bukan hanya tubuh manusia tersebut malah tingkah laku dan adab mereka. Oleh itu fikirkanlah sendiri mengapa manusia perlu diberikan susu ibu berbanding susu lembu.


No comments: